KUCHING: Kemelut yang berlaku melibatkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Friday Belik dan calon Bebas Datuk Ali Biju di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian membawa kepada kemenangan Friday pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Friday yang memperoleh 3,885 undi, menang dengan majoriti 932 undi menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Musa Dinggat yang hanya memperoleh 2,953 undi.

Penyandang kerusi DUN itu, Ali Biju yang menarik diri tiga hari selepas hari penamaan calon meraih 1,777 undi daripada pengundi yang layak mengundi iaitu 13,074 orang.

Manakala calon Parti Bumi Kenyalang, Danny Kuan hilang deposit apabila hanya mendapat 282 undi.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Sarawak: Tidak rasmi, GPS lepasi garisan majoriti mudah, terus kuasai kiraan undi

Kerusi DUN Krian menjadi tumpuan pemerhati politik dan pengamal media apabila Ali yang merupakan ahli dan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 6 Disember lalu mengumumkan bertanding atas tiket Bebas.

Perkara itu menimbulkan rasa kurang senang Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang melahirkan rasa kecewa atas tindakan Ali.

Pada 9 Disember lalu, Ali yang juga Ahli Parlimen Saratok mengumumkan menarik diri daripada bertanding di DUN Krian selain meminta penyokong dan penduduk DUN itu untuk menyokong Friday.

Tindakan Ali itu selepas mendapat nasihat daripada pucuk pimpinan Bersatu yang mengutamakan hubungan dan persefahaman bersama GPS.